ads

Sunday, July 25, 2010

Syanie Dah Makin Kurus

Syanie Lebih Selesa Kerana Kurus

SELEPAS setahun melakukan pembedahan pintasan perut (gastric bypass) bagi memendekkan usus Syanie semakin selesa dan yakin dengan penampilannya.

Perubahan berat badan yang ketara daripada 204kg sehingga 127kg memudahkan Syanie untuk bergerak dan melakukan aktiviti harian.

"Saya buat pembedahan bukan sebab nak cantik, kalau untuk cantik dari dulu saya dah buat, ini semata-mata kerana kesihatan saya. Berat saya dahulu sudah ditahap yang bahaya kerana terlalu besar dan sukar untuk bergerak.

"Selain itu banyak pula penyakit yang datang seperti mudah sesak nafas, mudah letih, susah untuk berjalan, malah tidur pun dalam keadaan duduk.

"Kini semuanya sudah berubah, saya boleh melakukan aktiviti harian seperti orang lain, saya boleh keluar membeli belah, malah boleh memandu kereta sendiri, dan ramai yang tidak mengenali saya ketika berselisihan" ujarnya gembira.

Menurut Syanie, dia bersyukur dengan berat badannya kini, malah dia turut tidak merancang untuk mengurangkan lebih banyak lagi beratnya.

"Saya semakin selesa dan apa yang saya buat selama ini bukan untuk cantik macam artis lain tetapi kerana tuntutan.

"Malah saya belum merancang untuk membuat pembedahan sekali lagi bagi membuang lebihan kulit dan daging yang tinggal akibat pengurangan berat badan," ujarnya yang turut membintangi filem Kembar Siam dan Tolong Awek Aku Pontianak.

Selain itu, Syanie memberitahu perubahan berat badannya tidak menjejaskan tawaran berlakon yang diperoleh.

"Saya sedar orang ambil saya berlakon kerana saiz saya yang besar ketika itu, tetapi Alhamdulilah walaupun saiz kecik sedikit tapi tawaran tidak pernah putus.

"Namun saya yakin itu semua kerana bakat bukan kerana saiz semata-mata," jelas Syanie ketika ditemui selepas rakaman program terbitan Astro Itu Dia di Finas, Khamis.

Dalam pada itu, Syanie turut tidak lokek berkongsi pengalaman dan pendapat bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang pembedahan tersebut.