ads

Friday, November 13, 2009

Bahaya Kurus Dengan Suntikan

harian metro:


KUALA LUMPUR: Seorang ibu muda mendakwa rawatan melangsingkan badan melalui suntikan dilakukannya di sebuah pusat kecantikan di pusat beli-belah terkemuka di ibu negara, hujung tahun lalu, menyebabkan lengan kanannya membengkak dan lebam sebelum meninggalkan kesan parut kekal sehingga ke hari ini.

Bagi mengelak keadaan bertambah teruk, ibu malang itu yang hanya ingin dikenali sebagai Yee, 23, terpaksa menghabiskan ribuan ringgit untuk menemui pakar kulit sebelum menjalani pembedahan dan rawatan susulan di sebuah hospital swasta.

Mangsa bagaimanapun kesal dengan sikap ‘lepas tangan’ syarikat itu yang enggan memberi pampasan dan tidak mahu bertanggungjawab terhadap kejadian menimpanya.

Menurut Yee, dia berminat menjalani rawatan melangsingkan badan di pusat kecantikan itu selepas melihat iklan dalam beberapa akhbar tempatan, November tahun lalu.

“Sejurus ke pusat berkenaan, saya ditawarkan pakej disediakan bernilai hampir RM3,000 yang merangkumi lima rawatan terapi dan suntikan di beberapa bahagian badan iaitu lengan kanan, perut dan kaki untuk membuang lemak.


“Rawatan setiap dua atau tiga minggu sekali dilakukan di atas katil disediakan pusat berkenaan yang dilihat agak kotor seolah-olah mempunyai banyak kesan tompokan darah dipercayai milik pelanggan lain,” katanya ketika ditemui di Biro Pengaduan Awam MCA di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Biro Aduan Awam MCA, Datuk Michael Chong.

Dakwa ibu beranak dua itu, keadaan bagaimanapun berubah apabila lengan kanannya tiba-tiba menjadi sakit dan membengkak selain lebam selepas menjalani rawatan terakhir di pusat berkenaan Februari lalu.

“Saya yang terkejut dengan perubahan itu pergi semula ke pusat berkenaan dan diminta memakan ubat antibiotik selama dua minggu, namun ia tidak menunjukkan sebarang perkembangan positif.

“Kerana terlalu bimbang berlaku jangkitan lebih teruk, saya segera menemui doktor pakar kulit di ibu negara sebelum dinasihatkan menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta dengan kos RM5,000.

“Sejurus selesai pembedahan yang masih meninggalkan parut kekal di lengan, saya cuba meminta pampasan kos pembedahan dari pusat terbabit, namun mereka enggan bertanggungjawab,” katanya.

Menurutnya, dia kesal dengan sikap pusat kecantikan itu dan menasihatkan orang ramai berwaspada menjalani rawatan melangsingkan badan, sekali gus mengelak perkara sama berlaku.

Sementara itu, Chong berkata, pihaknya akan meminta Kementerian Kesihatan menyiasat perkara itu dan menasihatkan mangsa mengambil tindakan undang-undang sekiranya pusat berkenaan enggan bertanggungjawab dengan apa yang berlaku.


No comments: