ads

Tuesday, October 27, 2009

Insomnia

Tadi baca kosmo, aku tertarik dengar artikel nih.. so nak share ngan korang semua...

Insomnia landa rakyat Mesir

Satu kajian antarabangsa mendedahkan dianggarkan lima juta atau satu pertiga daripada penduduk di Kaherah, Mesir menderita penyakit gangguan tidur dan memerlukan rawatan.
"SAYA ketagih untuk berjaga," beritahu Sameh Marghani ketika berada di bawah sinaran lampu di sebuah kawasan kejiranan Kaherah.
Ketika itu kelihatan masih banyak kumpulan keluarga yang sibuk membeli-belah dan telatah para remaja yang mengangguk-anggukkan kepala sambil mengikut rentak lagu di dalam kereta.
Suasana tengah malam di Heliopolis, utara Mesir, trafik pada tengah malam masih lagi sibuk seolah-olah tiada tanda-tanda bahawa waktu bekerja akan bermula dalam tempoh sembilan jam berikutnya.

"Tidur awal bukannya corak budaya kami di sini," jelas seorang penduduk, Abdo, 39, yang mengamalkan tidur lewat.
"Hanya ada satu sahaja perkara yang membuatkan mereka akan tidur awal iaitu mengehadkan bayaran untuk kerja sehingga lewat malam.
"Sekiranya bayaran kerja malam masih disediakan, jadi buat apa mereka perlu tidur awal?" soal seorang lelaki botak yang mengakui anaknya kerap berjaga malam sehingga pukul 7 pagi untuk menonton televisyen.
"Ketika zaman persekolahan, saya sering memberitahu mereka tidur lebih awal tetapi apabila musim panas tiada alasan untuk memaksa mereka tidur," jelas Abdo yang berpendapat masalah tidur awal merupakan paksaan.
Huru-hara
Dikenali sebagai Big Mango iaitu selepas New York (yang dikenali sebagai Big Apple) bandar raya yang tidak pernah tidur, Kaherah merupakan tempat tinggal kepada lima juta penduduk yang menderita masalah gangguan tidur. Dengan erti kata lain, dianggarkan satu pertiga daripada populasinya mengalami masalah tersebut, menurut satu kajian antarabangsa.
Sementara itu, Ibrahim al-Sayyed tiada pilihan melainkan terus berjaga. Beliau gagal mempertahankan kerjaya tetapnya pada pada siang hari dan kini dia terpaksa meneruskan hidup dengan menjual belon pada waktu petang. Dia hanya melelapkan mata di mana saja yang sempat.

"Saya memerlukan duit dan hanya tidur selama empat jam sehari," akui Ibrahim sambil memegang segenggam belon yang berwarna terang.
Para saintis pula memberitahu, golongan dewasa sepatutnya memerlukan tempoh tidur secukupnya iaitu lapan jam setiap malam.

"Saya tidak pernah tidur sebelum pukul 1 atau 2 pagi," jelas ibu kepada dua orang anak, Sherifa Taher, yang akan bangun seawal pukul 6 pagi untuk menguruskan anak-anaknya ke sekolah.
Beritahu Sherifa: "Sebaik sahaja anak lelaki saya pulang dari sekolah, mereka akan berehat sekejap kemudian menikmati makan malam dan guru tuisyen akan datang mengajar.
"Mereka tidak pernah menghabiskan kelas tuisyen itu sebelum pukul 9 atau 10 malam. Jadi waktu untuk peribadi saya ialah sekitar pukul 10 malam," ceritanya.
Ia sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan besar.
Masalah tidur merupakan sebahagian daripada punca tekanan dan ramai yang tidak datang bekerja.

Klinik tidur

Lebih menarik, klinik baru bagi menangani masalah tidur itu merupakan satu-satunya di Kaherah.
"Sebanyak 90 peratus orang ramai yang mempunyai tempoh tidur kucar-kacir sebenarnya tidak tahu mereka mempunyai masalah," beritahu Pensyarah Neurologi dan Psikiatri di Universiti Kaherah Ain Shams, Ramez Reda Moustafa.
Moustafa merupakan pensyarah pelawat di Universiti Cambridge berusaha gigih bersama rakannya selama dua tahun untuk menubuhkan Klinik Penjagaan Tidur.
Klinik itu memulakan operasi sejak dua bulan lalu turut memberi perkhidmatan kepada orang ramai yang mempunyai masalah mata kabur.
Ketika di dalam bilik menunggu, Hani Ramadan, 30, seorang akauntan yang lengkap dengan sut dan bertali leher mengharapkan Ramez Reda akan memulihkan masalah tidur yang dialaminya sejak bertahun-tahun lamanya.
"Saya tidak tidur pada sebelah malam. Kadang-kadang saya berada di tempat kerja dan memang tidak dapat membuka mata," jelas Hani yang mengikuti pembelajaran tidur dengan setiap hela nafasnya dirakam.

Bilik khas

Hani akan menghabiskan waktu malamnya di dalam sebuah bilik tidur khas di mana segala pergerakannya sepanjang malam akan dirakam dan doktor akan memantau tidurnya.
Masalah tidur yang dirawat di klinik tersebut merangkumi insomnia iaitu ketidakupayaan untuk mengekalkan tidur, berdengkur dan sleep apnea iaitu masalah nafas terhenti ketika tidur.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Bangsa-Bangsa Bersatu dalam satu kajian menjelaskan, kebisingan, tekanan dan kerja yang bergilir boleh mengurangkan tidur dan kualiti tidur terjejas.
"Kesan utama masalah tidur menyebabkan individu itu mengalami kesan fizikal seperti hipertensi, mengantuk, keletihan, kualiti kerja, tumpuan dan motivasi menurun.
"Lebih teruk, keadaan ini boleh menyebabkan kemalangan di tempat kerja atau ketika memandu," beritahu kajian tersebut.

"Sebenarnya banyak sebab mengapa masyarakat Mesir sukar tidur," ujar Moustafa.
Rakyat Mesir juga merupakan populasi yang kuat minum teh manakala selebihnya pula mempunyai berat badan berlebihan.
Kesemua fakta itu merupakan punca berlakunya masalah tidur pada sebelah malam.

Gaya hidup

Pesakit-pesakit yang tidak menghidap penyakit respiratori, jantung dan urologi dinasihatkan supaya mengubah gaya hidup mereka dengan mengurangkan pengambilan kafein dan lebih kerap bersenam.

Mereka akan diberi petua untuk mudah tidur iaitu meletakkan klip pada bahagian hidung untuk mengurangkan masalah berdengkur.
Seorang pelayan di Cairo Cafe, Manal, 21, sehingga kini tiada jawapan mengapa tidur telah menimbulkan masalah di Big Mango.

"Di sini tiada budaya obses kepada gim. Sebaliknya kami akan memasak makanan yang berlemak dan kami juga gemar berjaga sehingga lewat malam.
"Adakah ia berbunyi seperti tidak sihat," soalnya.

Tiada alasan sebenarnya untuk mematuhi corak tidur yang biasa.
"Sekiranya saya tidak mahu ke mana-mana, kenapa saya perlu bangun awal?" beritahu seorang penganggur, Shadi Mohammed, 24.
Shadi merupakan graduan kolej teknikal empat tahun lalu. Sejak itu, dia berusaha mendapatkan kerja sepenuh masa.

Sebelum ini dia telah mencuba pelbagai pekerjaan, namun dia lebih selesa berjaga malam dengan menghabiskan masa bersama rakan-rakan sambil menikmati shisa di kafe.
Sekiranya dia memilih tidur awal, dirinya akan berasa bimbang.

"Ia hanya mengingatkan saya mengapa perlunya bangun awal sedangkan tiada perkara yang perlu dilakukan. - AFP

No comments: