ads
Friday, January 1, 2010
Serina Redzuan
gambar from murai.com.my
KUALA LUMPUR, 1 JANUARI 2010: Selepas bertunang semalam, hari ini, adalah hari yang paling indah buat Serina Redzuawan apabila telah sah bergelar isteri kepada Gavin Edward O'luanaigh. Dengan sekali lafaz sekitar jam 11.30 pagi tadi di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, kedua-dua mempelai berlainan bangsa itu telah sah disatukan sebagai suami isteri.Dengan linangan air mata juga, Chef Wan, ayah Serina yang sentiasa berada di sisinya, terus memeluk beliau kerana amat sebak, terharu dan bersyukur. Ia juga bermakna, Chef Wan kini telah sedia melepaskan Serina sepenuhnya kepada suaminya, Gavin atau nama muslimnya, Salahudin Ghafar.
Mereka berdua telah dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk masjid tersebut, Mohd. Nazarudin Mohd. Nadzir dengan berwalikan Chef Wan atau Redzuawan Ismail bersama mas kahwin RM1,000.
Detik bersejarah pasangan yang tampak berseri dengan persalinan serba putih rekaan Jovian Mandagie serta solekan oleh Sue Cantik. Ia telah disaksikan oleh sanak saudara, sahabat handai daripada kedua belah pihak serta pihak media.
Majlis turut mendapat liputan secara langsung Wanita Hari Ini, TV3 selain rakaman bagi Asian Food Channel yang akan disiarkan pada Februari nanti.
Serina yang ditemui pihak media selepas majlis akad berkata, tiada apa yang dapat dilafazkannya selain memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi.
"Alhamdulillah, niat saya dan Gavin hendak menjadi pasangan suami isteri telah termakbul. Tapi selepas berkahwin tentunya saya akan memegang tanggungjawab yang sangat besar untuk hidup bersama Gavin. Saya harap saya akan dapat membantu Gavin untuk menjadi seorang muslim yang baik.
"Saya sedar saya sendiri juga bukanlah arif dalam hal agama tapi saya harap dapat mendalami Islam dengan lebih baik dan menjadi seorang isteri yang taat kepada Gavin. Doakanlah kebahagiaan kami," kata Serina dengan mata yang berkaca dan tampak sungguh jelita.
Ditanya tidakkah dia terasa penat kerana perlu muncul dalam 6 majlis selama 3 hari berturut-turut, Serina menjelaskan dia memang mula terasa penat sejak malam tadi namun berpuas hati kerana semua itu adalah bertujuan meraikan hari yang paling berbahagia buat diri dan keluarganya.
Pada majlis itu, Serina menerima 9 dulang hantaran termasuk wang hantaran berjumlah RM30,000. Hantaran yang diterima adalah senaskah Al-Quran dan tasbih, persalinan baju, telekung, barangan kosmetik, beg tangan, gelang tangan, cek RM30,000, kek serta sirih junjung.
Gavin juga menerima Al-Quran bersama telefon Blackberry, tali leher dan kafling, jam tangan Emporio Armani, kemeja, wangian Hugo Boss, tali pinggang dan dompet Gucci, kek serta sirih junjung.
Gavin turut melafazkan rasa bersyukur kerana telah memperisterikan Serina yang disifatkannya sebagai seorang wanita yang penyayang, berpendirian dan sangat cantik di matanya.
"Terus terang,ketika mula-mula bertemu dulu saya sendiri tak tahu yang dia seorang pelakon, sebab saya jarang menonton TV Malaysia. Tapi saya percaya, perkahwinan ini akan membawa lembaran baru kepada kami berdua. Insya-Allah saya akan cuba menjadi seorang suami yang baik kepada Serina," katanya tidak lekang dengann senyuman.
Pasangan pengantin ini akan diraikan pula dalam majlis berinai besar pada malam ini di NEO, Jalan Sultan Ismail sebelum melalui majlis bersanding di The Royale Chulan malam esok.Sebagai hadiah, Chef Wan telah menempah pakej bulan madu buat mereka untuk melancong ke Pulau Santorini pada bulan Jun depan. Pulau yang pernah menjadi lokasi penggambaran filem muzikal Mamma Mia! lakonan Pierce Brosnan dan Meryl Streep itu menjadi pilihan Chef Wan kerana merasakan pulau itu cukup romantis.
Pasangan terlebih dahulu akan diterbangkan ke Bali dan diikuti Maldives sebagai destinasi bulan madu pertama mereka dan seterusnya ke Santorini. Selamat Pengantin Baru buat Serina & Gavin dariwarga murai.com.my!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment